Green n fresh

Green n fresh
Cool the eyesight!!!

mE..mY LiFe...& fRiENdS

mE..mY LiFe...& fRiENdS

Monday 2 January 2012

Subuh yang dingin...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Kokokan ayam mengejutkan seawal dinihari diikuti jelas kedengaran suara merdu mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-quranul Karim dari masjid terdekat. Alhamdulillah...syukur dengan nikmat ini, syukur dengan segala nikmat anugerahMu. Seiring dengan kokokan ayam bersahut-sahutan, kedengaran pintu rumah dibuka oleh AYAH, meredah embun dinihari untuk ke masjid, mengimamkan jemaah Subuh. Entah berapalah saf agaknya yang ada. Adakala AYAH meredah dingin Subuh berjalan kaki, menunggang motosikal (tapi kini tidak lagi sejak motosikalnya tersadai tanpa dibaiki kesan kecuaian cucunya yang belum pun punyai lesen untuk menunggang motor) dan kini AYAH lebih kerap menaiki keretanya untuk ke mana-mana masjid. Hujan masih lagi mencurah-curah membasahi bumi Allah tatkala saya mencoret sebaris dua kata. Masih kedengaran jelas suara AYAH sedang mengajar jemaah mengaji Al-quran, dan sempat saya dengar suara serak basah AYAH mengimamkan jemaah solat Subuh. Begitulah rutin harian lelaki yang berusia hampir 77 tahun, Allah memberinya nikmat kesihatan tubuh badan untuk terus berbakti kepada masyarakat. Mengajar kelas Al-quran di kampung-kampung jiran, mengendalikan kuliah selepas solat Subuh atau Maghrib di mana-mana masjid yang telah ditetapka oleh Pejabat Agama daerah kami diami ini. Kami sekeluarga adalah orang mendatang tapi usaha AYAHtidak pernah mengenal jemu dan akhirnya AYAH sekarang seolah-olah seperti anak jati kampung ini. Pagi yang dingin disertai bunyi curahan hujan yang menghempas bumbung rumah agam ini saya punyai idea begitu banyak;selebat hujan di luar sana. Saya tersenyum. Kagum??Jauh sekali untuk berasa kagum kerana bidang penulisan telah lama saya tinggalkan sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM..belasan tahun yang lalu. Karangan terakhir saya adalah sewaktu di tingkatan 5. Senyum lagi, mengingatkan kepada guru Bahasa Melayu sewaktu di tingkatan 4 dan 5 yang selalu juga mengambil buku karangan saya sebagai contoh karangan terbaik! Terima kasih cikgu, atas ajaran dan didikan cikgu saya mampu mengarang dengan baik. Hari ini, kebelakangan ini saya terpanggil untuk mengarang dalam bahasa Ibunda, Bahasa Melayu. Tidaklah saya untuk bermegah mengatakan Bahasa Inggeris saya teramat baik, tapi sekadar biasa-biasa tapi mampu untuk bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris kerana sewaktu persekolahan dulu, saya amat meminati subjek bahasa. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab! Pernah mencuba untuk belajar Bahasa Mandarin sewaktu di pusat pengajian tinggi dahulu, tetapi tidak ada rezeki dan pelaung agaknya untuk menguasai bahasa tersebut. Semua itu sudah ditentukan olehNya. Di awal 2012 bumi Terengganu masih terus-menerus dibasahi hujan, dan saya masih di sini mencoret, mencatat sekelumit rasa sekadar berkongsi idea di masa lapang. Esok akan bermula sesi baru dan tugas yang digalas akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. amanah yang diberi tidak akan saya persiakan. Semoga Allah sentiasa berkati segala apa yang saya lakukan, amin!

No comments:

Post a Comment